BULETIN MINGGUAN

NOTA: Buletin Mingguan ini telah disiarkan menerusi berita SARAWAKfm (6 pagi / 12 tengahari / 3 petang / 6 petang / 10 malam). Bahan dipilih secara mingguan bagi siaran portal oleh admin Azaz Azmi (Unit Penerbitan Radio RTM Kuching)...  "MEMBACA JAMBATAN ILMU"

 

EDISI PILIHAN MINGGU INI (sila rujuk sumber siaran bagi tarikh berita dikeluarkan):-

BULETIN 1:  BANJIR TERKINI DI SARAWAK

Bilik Gerakan Operasi Banjir di Pejabat Daerah Lawas diaktifkan pada Selasa selepas beberapa kawasan di Bandar Lawas ditenggelami air. Keadaan itu disebabkan oleh hujan yang berterusan selama dua jam bermula pukul 3.00 petang.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, kawasan yang terjejas ialah Kampung Temanggis, Sekolah Kebangsaan Pusat Lawas dan perumahan kerajaan di Batu Satu dan Dua. Banjir kilat juga menyebabkan jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Lawas tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil.

Sementara itu, Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Limbang, Bonny Martin ketika dihubungi RTM memberitahu jalan ke Kuala Mendalam dan Kampung Ensungai telah ditenggelami air. Pihaknya sedang berjaga-jaga dan memantau paras air sungai dari Ulu Medamit hingga ke Batu Danau.

Bilik Gerakan Operasi Banjir di Pejabat Daerah Limbang juga telah diaktifkan.

(sumber siaran: 25 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 2:  KETUA MENTERI SARAWAK

Saya bukan tamak kuasa, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Adenan Satem apabila beliau meminta rakyat memberikannya tempoh lima tahun lagi untuk memimpin Sarawak.

Sebaliknya, mandat yang diberikan ialah untuk merealisasikan pelan pembangunan yang dirancang olehnya sejak menjadi Ketua Menteri kira-kira dua tahun lalu. Tumpuan beliau ialah di kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi penduduk bandar dan luar bandar.

Datuk Patinggi Adenan menyatakan perkara itu di Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen Enam dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan Cek Pampasan Tanah di Dewan Suarah Bau dekat Kuching, pada Selasa.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau mempertahankan pendirian mengenai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan rasmi di Sarawak walaupun mendapat kritikan beberapa pihak. Ini kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu yang perlu dikuasai jika tidak mahu ketinggalan.

(sumber siaran: 25 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 3:  KES KEMALANGAN DI SARAWAK

Polis Sarawak melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan kes kemalangan yang dicatatkan di negeri ini setakat pertengahan bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Sri Muhammad Sabtu Osman berkata pada tempoh tersebut, jumlah kemalangan yang dicatatkan adalah sebanyak 16,573 kes berbanding 15,540 kes pada tahun lepas yang menunjukkan peningkatan sebanyak 6.65 peratus.

Katanya, kemalangan rosak mencatatkan 15,810 kes, kemalangan ringan 252 kes, kemalangan parah 168 kes dan kemalangan maut 343 kes.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kereta Peronda di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching semalam. Polis Sarawak menerima 52 kereta peronda yang diagihkan untuk kegunaan di Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kuching, Miri, Bintulu, Padawan dan Astana Negeri Sarawak.

(sumber siaran: 20 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 4:  DENGGI

Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan program gotong-royong mega di 15 kawasan panas di seluruh negara secara serentak bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, program itu memberi fokus kepada kawasan tanah atau lot kosong kerana hasil pemantauan kementerian itu tahun ini mendapati longgokan sampah di kawasan berkenaan menyumbang kepada 18 peratus pembiakan Aedes di negara ini.

Beliau berkata selain 15 kawasan, beberapa agensi kerajaan turut menjalankan gotong-royong di cawangan masing-masing seperti kem Angkatan Tentera Malaysia, kuarters polis dan Pusat Latihan Rela di seluruh negara.

Datuk Seri S Subramaniam menambah, sebanyak 282 kematian dan lebih Satu Ratus Ribu kes demam denggi dilaporkan tahun ini di seluruh negara berbanding 162 kematian dan lebih 86 ribu kes tahun lepas.

(sumber siaran: 8 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 5:  PENDERMA ORGAN

Hanya satu peratus rakyat Malaysia berikrar menjadi penderma organ dan tisu. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam bagi Perdermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, data dari Pusat Sumber Transplan Nasional menunjukkan 315 ribu 371 orang tampil mendaftar sebagai penderma organ dan tisu dari tahun 1997 sehingga Oktober lalu.

Sarawak pula mencatatkan bilangan pengikrar seramai 9,294 orang dalam tempoh yang sama. Sehubungan itu, pihaknya akan menggandakan usaha untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya pendermaan organ dan tisu untuk manusia sejagat.

Tan Sri Lee memberitahu sidang media selepas melancarkan Jerayawara Pendermaan Organ Peringkat Negeri Sarawak di Bintulu pada hari Sabtu.

Beliau berkata latihan “Training Of Trainers” untuk para sukarelawan kesihatan penting dalam usaha untuk meningkatkan aktiviti promosi dalam kalangan masyarakat mengenai perdermaan organ.

(sumber siaran: 5 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 6: PELAN JALAN RAYA BERTINGKAT

Bandar raya Kuching memerlukan lima lagi jalan raya bertingkat untuk mengatasi masalah kesesakan trafik terutama di waktu puncak.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata walaupun tidak tersenarai dalam bajet 2016, namun beliau akan berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof mengenai perkara tersebut atau memohon peruntukkan daripada kerajaan negeri.

Sejumlah 1.3 billion ringgit diperlukan untuk membina lima jalan raya bertingkat itu yang dicadangkan di Jalan Stutong, Jalan Mendu, Jalan Samariang, Jalan Green-Kereta api dan Simpang Empat di hadapan Bangunan Naim.

Sementara itu, laluan bawah tanah di Bulatan Datuk Abang Kipali bin Abang Akip di Petra Jaya akan dibina tidak lama lagi dengan peruntukan 67 juta ringgit.

(sumber siaran: 8 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 7:  LIPUTAN TELEKOMUNIKASI

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM berharap dapat meningkatkan liputan telekomunikasi sehingga 90 peratus bagi kawasan berpenduduk di negeri ini. Harapan ini diyakini dapat dicapai melalui pembinaan 234 menara telekomunikasi.

Ketua Wilayah Sarawak, SKMM, Roslan Mohammad memberitahu daripada jumlah itu 149 menara sedang dalam pembinaan manakala 85 lagi masih dalam proses tender.

Pelaksanaan kesemua menara tersebut adalah sehingga tahun 2017 manakala kos pembinaan sebuah menara antara 1.5 juta ringgit hingga 1.8 juta ringgit bergantung pada keadaan geografi dan logistik.

Katanya sebanyak 203 menara telah didirikan sementara liputan telekomunikasi di kawasan berpenduduk di Sarawak ketika ini sekitar 85 peratus. Beliau ditemui pada perasmian Hari Bersama Pelanggan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Baru Hulu Betong di Betong kelmarin. Majlis disempurnakan Timbalan Ketua menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

(sumber siaran: 7 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 8:  ROKOK

Kementerian Kesihatan sedang mengkaji keperluan untuk mengenakan cukai eksais terhadap rokok elektronik termasuk Vape bagi menghalang ia daripada menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam berkata kajian terhadap keperluan itu disebabkan perisa yang terkandung dalam cecair rokok elektronik mempunyai nikotin yang merupakan bahan terkawal.

Katanya oleh sebab rokok elektronik mempunyai nikotin, kementerian mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memberi layanan kepada rokok elektronik sama seperti rokok biasa, yang dikenakan cukai eksais.

Nikotin ialah bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952. Sesiapa yang menjual nikotin perlu memohon permit daripada biro farmasi, jadi jika tiada permit ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

(sumber siaran: 5 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 9:  DEMAM KEPIALU

Kes demam kepialu di Sarawak tidak membimbangkan.

Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil berkata bilangan kes demam kepialu yang dicatatkan adalah rendah dengan empat kes setakat ini. Jelasnya kes tersebut disyaki berpunca dari gerai-gerai jualan makanan.

Mengambil contoh di Selangor, katanya sebahagian dari pengendali makanan di gerai-gerai ialah orang asing yang beroperasi tanpa lesen dan mereka terlepas daripada pemeriksaan kesihatan.

Justeru, ia merupakan pengajaran besar kepada kerajaan negeri untuk belajar daripada perkara tersebut bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini. Beliau menambah pihak berkaitan perlu memandang serius perkara tersebut bagi mengelak penyakit berjangkit seperti demam kepialu daripada merebak.

(sumber siaran: 5 November 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 10:  KES KEBAKARAN RUMAH

Jumlah kes kebakaran rumah yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri Samariang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan penurunan jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang, Puan Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata antara faktor yang menyumbang kepada penurunan tersebut kerana timbulnya kesedaran dalam kalangan penduduk akan perlunya menjaga keselamatan di rumah.

Jelas beliau, pada tahun lalu sahaja anggaran 7 atau 8 buah keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri Samariang terlibat dengan kebakaran. Puan Sharifah Hasidah menyatakan ini semasa Kempen Mencegah Kebakaran dan Kemalangan Jalan Raya di Musim Perayaan, di Bandar raya Kuching.

Mengenai kempen tersebut beliau menjelaskan ianya amat diperlukan pada musim perayaan bagi memastikan sambutan Aidilfitri meriah tanpa sebarang tangisan. Pada majlis tersebut beliau mengagihkan sumbangan buah kurma, bubur lambuk dan bubur pedas untuk berbuka puasa disamping mengedarkan risalah.

(sumber siaran: 3 Julai 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 11:  SUKMA

Kontinjen Sarawak menyasarkan 70 pingat emas sekali gus muncul juara pada temasya Sukan Malaysia, SUKMA Ke-18 Sarawak yang akan berlangsung pada 22 hingga 31 Julai tahun depan.

Menurut Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Ikom, untuk temasya itu, Kontinjen Sarawak akan menyertai semua 24 acara sukan yang dipertandingkan. Beliau menjelaskan demikian pada Majlis Pelancaran ‘Dream Team’ Kontinjen Sarawak Sukma Ke-18 2015 di Dewan Suarah Kuching. Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa kompleks akuatik baharu yang berharga 163 juta ringgit di Petra Jaya kini sudah 70 peratus siap dan dijadual siap sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini. Sementara Stadium Sarawak yang sedang dibaik pulih dijangka siap pada Fabruari tahun depan.

Beliau turut menyeru agar para atlet bebas daripada isu doping dan sentiasa merujuk kepada pakar Institut Sukan Negara, ISN dan Agensi Anti Doping Malaysia, ADAMAS sebelum mengambil sebarang makanan atau ubat-ubatan tambahan.

(sumber siaran: 12 Jun 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 12:  JAMBATAN BATANG SAMARAHAN

Pembinaan Jambatan Batang Samarahan akan merancakkan lagi peluang ekonomi penduduk kawasan berkenaan.

Menteri Muda Perumahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu jambatan itu yang dijangka siap dua tahun lagi bakal memberi manfaat kepada lebih 200 ribu penduduk di kawasan itu. Ia akan memendekkan masa perjalanan dari Asa Jaya ke Bandar raya Kuching yang kini mengambil masa sekitar satu jam.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Penubuhan Koperasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sebandi Ulu dekat Kota Samarahan.

(sumber siaran: 26 April 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 13:  GAJI KAKITANGAN AWAM

Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji pokok baharu bagi 3072 kakitangan awam kumpulan Gred 11 yang menerima gaji antara RM823 hingga RM850 pada hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam itu antaranya pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu. Mereka menerima pendapatan keseluruhan termasuk gaji dan elaun antara RM1257 hingga RM1275. Beliau berkata ia merupakan semakan keempat bagi gred itu selepas 2002, 2007 dan 2013.

Tan Sri Mohamad Zabidi berkata kerajaan juga akan mengumumkan semakan bagi 252 skim gaji dan elaun untuk semua kumpulan kakitangan awam pada hujung tahun ini.

(sumber siaran: 20 April 2015/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 14: RTM

RTM akan bersiaran 24 jam secara digital mulai tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Dato’ Abu Bakar Abdul Rahim berkata sehubungan itu warga RTM perlu menggandakan lagi usaha mereka termasuk mengembangkan kreativiti masing-masing ke arah menghasilkan program yang berkualiti tinggi setanding di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan khas warga Jabatan Penyiaran Sarawak di Kuching hari ini.

Dato’ Abu Bakar turut menyentuh mengenai transformasi yang bakal dihadapi oleh RTM termasuk ke arah pengkorporatan di mana katanya inisiatif tersebut amat penting bagi memastikan RTM dapat menyaingi cabaran dari stesen swasta yang lain.

(sumber siaran: 24 November 2014/Unit Berita RTM Kch)

 

BULETIN 15: PUSARA PAHLAWAN SARAWAK

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu memberi jaminan bahawa pembinaan pusara Temenggong Datuk Kanang anak Langkau dijangka siap sebelum April tahun depan.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri memang dalam perancangan untuk membina pusara Temenggong Datuk Kanang bersama 21 pahlawan Iban Trackers dan Sarawak Rangers di Jalan Budaya Kuching bagi memperingati pengorbanan mereka semasa menentang pengganas komunis di Malaya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera, PV-ATM untuk menyenaraikan pahlawan negara yang telah terkorban bagi tujuan membina semula pusara mereka di tanah perkuburan sedia ada. Ini termasuk membina semula Pusara Rentap di Bukit Sibau di Pakan yang musnah oleh pokok tumbang.

(sumber siaran: 6 November 2014/Unit Berita RTM Kch)

   

BULETIN 16: MUZIUM SARAWAK 

Kerja-kerja pembinaan Muzium Sarawak yang melibatkan pembinaan dua bangunan baharu dan memperbaharui struktur bangunan muzium lama akan dimulakan hujung tahun ini.

Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata pembinaan yang menelan kos 310 juta ringgit itu dijangka siap pada tahun 2019.

Katanya pembinaan itu akan membolehkan lebih banyak ruang pameran dan artifak disimpan serta dipulihara. Beliau memberitahu pemberita di Kuching.

(sumber siaran: 22 Oktober 2014/Unit Berita RTM Kch)